01 January 2017

Lembaran Baru 2017

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Entri #101

Alhamdulillah. Tahun 2017. 
Bekerja dari rumah bukanlah sesuatu yang asing lagi.

Tidak seperti di tahun 2010. Saya masih ingat pada waktu itu, saya diperli, dipersoal dan dikecam teruk kerana memilih untuk menongkah arus.

Tadika dua tahun.
Sekolah rendah enam tahun.
Sekolah menengah lima tahun.
Matrikulasi satu tahun.
Universiti tiga tahun.

Selepas graduasi, pilihan seolah-olah hanya ada dua. Menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan PhD. Atau bekerja makan gaji di luar rumah.

Bekerja dari rumah? Berniaga dari rumah? Sesuatu yang kedengaran amat aneh dan amat mustahil untuk dilakukan. Lebih-lebih bagi yang mempunyai latar belakang keluarga yang kebanyakannya berjawatan tinggi.

Kerja dari rumah? Kerja apa? Berniaga? Jual apa tu? Apa benda je boleh jual? Boleh ke tu? Banyak ke duit kerja dari rumah je? Cukup ke duit nak menabung untuk anak? Ada ke orang nak beli kalau jual dari rumah?

Ambooooi! :p

Cukup sinis menyapa gegendang telinga. Cukup menghiris dan menyiat-nyiat hati saya pada waktu itu. Maklumlah, masih belum matang menapis masalah untuk ditukar menjadi peluang.

Tahun ini saya menyaksikan lebih ramai rakan-rakan seperjuangan pemegang ijazah, Masters, PhD, yang bergelar guru, saintis, jurutera, doktor, arkitek dan pelbagai jawatan besar, beralih bekerja dari rumah.

Alhamdulillah tahniah. :)

Sejujurnya, saya langsung tidak terkejut walau atas apa pun sebabnya. Masing-masing ada sebab tersendiri yang hanya mampu difahami oleh diri sendiri. Tidak perlu diceritakan kepada orang lain secara terperinci. Manusia hanya mendengar apa yang mereka mahu dengar.

Saya sentiasa pesan kepada diri sendiri. Bekerja di rumah sama sekali tidak menjadikan saya seorang isteri dan ibu yang lebih baik berbanding rakan-rakan yang bekerja di luar.

Bekerja di luar rumah pula tidak semestinya saya akan lebih berduit dan lebih bergaya berbanding mereka yang bekerja hanya di rumah.

Perkara yang sentiasa saya lakukan adalah muhasabah dan semak. Mengapa saya bekerja? Apa keperluan saya bekerja? Apa nilai yang mahu saya beri dengan bekerja?

Dan adakah dengan pilihan pekerjaan dan lokasi bekerja sekarang, memberi lebih banyak kemudahan untuk saya dan keluarga saya?

Bersambung.

No comments:

Post a Comment