13 February 2015

Perginya Seorang Murobbi

Entri 42

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Facebook PTS



12 Februari 2015 bersamaan 22 Rabiul Akhir 1436, jam 9.40 malam telah pulang kepada Al-Khaliq, seorang tokoh pejuang Islam yang mashaAllah sangat luar biasa hebat figuranya.

Antara banyak-banyak poster yang muncul di Facebook newsfeed hari ini, saya amat tertarik dengan poster kata-kata Alllahyarham Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat yang dikongsikan oleh pihak PTS. Ia berkenaan pentingnya buku sebagai peneman kita. Sebaik-baik buku yang ada di muka bumi ini ialah Al-Quran. Ibarat peta dalam kehidupan, Al-Quran akan menunjukkan arah jalan yang benar untuk mencapai matlamat mencari redho Allah dan akhirnya ke Syurga.

Apabila menyebut buku, sudah tentulah ia amat berkait rapat dengan amalan membaca. Ayat pertama yang diturunkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W juga adalah ayat suruhan "Iqra'" yang bermaksud 'bacalah'. Membaca insyaAllah akan menambahkan ilmu kita. Insan yang banyak membaca biasanya insan yang banyak berfikir.

InsyaAllah, doakan saya berhasil menyiapkan beberapa buah buku sebagai sumber bacaan dan doakan agar ia akan menjadi salah satu sumbangan saya untuk agama dan masyarakat.

09 February 2015

Amal Creative di Sebalik Tabir Assalamualaikum

Entri 41

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Nor Amalina Rohaizad

Sebelum Subuh seperti biasa, saya dan suami sudah siap menguruskan diri. Anak-anak yang biasanya turut bangun awal ketika Subuh tiada masalah untuk dikejutkan mandi dan siap berpakaian rapi. Pelan asal, Abang dan Kakak akan ditinggalkan di rumah nenek mereka. Namun bila difikirkan semula yang mereka tidak pernah ditinggalkan dalam jangka masa lebih 2 jam, saya mengambil keputusan untuk membawa mereka bersama.

Sehari sebelum itu, saya diminta untuk hadir ke studio pada jam 8 pagi kerana slot saya akan ke udara antara jam 8.30 hingga 9.00 pagi. Jadi jam 7.30 pagi kami sudah tiba di lokasi kerana saya mahu memastikan anak-anak selesa, tenang dan tidak meragam. Stesen Tv Al-Hijrah terletak bersebelahan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Oleh kerana kami keluar awal dan hari itu adalah hari hujung minggu, maka perjalanan hanya mengambil masa 20 minit sahaja dari Bandar Baru Bangi.

Pada hari tersebut, saya membawa sebuah kotak bersaiz sederhana besar berisi bahan dan peralatan untuk saya gunakan semasa slot DIY. Mulanya saya enggan membawa mesin Big Shot seperti yang Encik Suami cadangkan kerana memikirkan agak renyah untuk diusung lebih-lebih lagi kami membawa 3 orang anak kecil bersama. Keengganan saya dirasakan agak berasas kerana saya telah diberitahu bahawa slot saya hanya mengambil masa 5 ke 7 minit. Tetapi Encik Suami tetap mahu saya bawa Big Shot bersama.


Tiba di kaunter pertanyaan, saya .... (Bersambung nanti).

08 February 2015

Amal Creative di Rancangan Assalamualaikum Tv Al-Hijrah

Entri 40

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: tvalhijrah.com

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca blog Panduan Kraftangan Felt. Alhamdulillah Ahad 8 Februari 2015 mencatat satu lagi kenangan manis. Saya diundang untuk bersiaran secara langsung di pentas Assalamualaikum, sebuah program bual bicara dengan pengisian santai berunsur Islamik terbitan Tv Al-Hijrah. Assalamualaikum bersiaran setiap hari bermula jam 8.30 hingga 10.30 pagi.


Pagi tadi Assalamualaikum dihoskan oleh Saudara Fazlan dan Saudari Nadzirah. Saya dijemput untuk mengisi slot DIY dengan tema kraftangan felt. Antara produk kraftangan felt yang sempat saya kongsikan adalah langkah-langkah menghasilkan flash card dari kain felt dan penanda buku. Saya juga sempat menunjukkan demonstrasi menggunakan Big Shot, mesin pemotong kain felt. Saudari Nadzirah turut mengambil peluang untuk cuba menggunakan Big Shot.

Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih buat penerbit dan krew rancangan Assalamualaikum Tv Al-Hijrah kerana menjemput Amal Creative. Ucapan terima kasih khas buat sahabat saya Saudari Amie Sofia yang membuat lamaran awal. InsyaAllah andai ada rezqi, saya dan Amal Creative bersedia memberi kerjasama lagi. :)

Bagi yang tidak berkesempatan menonton siaran Assalamualaikum pagi tadi, anda boleh menonton siaran ulangan di atas talian di www.alhijrahmedia.com. Kisah di sebalik tabir akan saya kongsikan dalam entri seterusnya.

Assalamualaikum siaran 8 Februari 2015
http://alhijrahmedia.com/ahad-8-februari-2015/

01 February 2015

Februari 2015

Entri 39

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Januari berlalu begitu pantas. Kini masuk bulan kedua tahun 2015. Alhamdulillah saya kembali semula di atas landasan. Doakan kesihatan dan kelapangan waktu saya berpanjangan.

Terima kasih buat Encik Suami yang mengambil alih tugasan rumah. Juga tugasan menjaga keperluan anak-anak. Memberi laluan kepada isterinya menyiapkan tugasan bisnes kraftangan felt atas talian. Maka hari ini saya perlu bergerak dengan pecutan gear 5. Berkurung di dalam makmal jahitan, itu lah yang saya sedang lakukan. 

Dua saja perkara yang tidak boleh dan tidak mahu dilakukan Encik Suami. Memasak dan menyusukan anak-anak yang menjadi tugasan fitrah seorang wanita. Jadi hari ini saya siapkan nasi lemak sebagai menu sarapan pagi. Harapnya cukup juga untuk makan tengahari dan makan malam. Diselang seli dengan kudapan buah-buahan. Dengan itu saya tidak perlu berlama-lama di dapur menyiapkan hidangan. 


Hari ini saya target untuk mengemaskini blog bisnes. Antara perkara yang akan dilakukan ialah:

1) Menukar header baru. 
2) Menukar latar belakang dan susun atur baru.
3) Mengemaskini maklumat semasa. 
4) Memuatnaik gambar baru. 
5) Berkongsi cerita baru

InsyaAllah sebelum malam melabuhkan tirai, saya akan pastikan segala yang dirancangkan itu selesai. Selamat berhujung minggu semua! :)