03 January 2015

Perjuangan Hidup Mesti Diteruskan

Entri 26

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Google

Penutup 2014, beberapa buah negeri di Malaysia dikejutkan dengan peristiwa banjir yang luar biasa limpahannya. Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak terjejas teruk akibat bencana alam ini. Kementerian Pendidikan juga terpaksa mengumumkan penangguhan sesi persekolahan 2015 selama seminggu.


Umum mengetahui bahawa Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai Musim Tengkujuh akan melanda negeri-negeri di sebelah Pantai Timur saban tahun apabila tiba bulan November. Namun pada kali ini di Kelantan khususnya, 3 paras air di sungai utama iaitu Sungai Lebir, Sungai Kelantan dan Sungai Golok telah melepasi paras bahaya. Akibatnya, banyak kawasan lumpuh dan ditenggelami air sedalam hampir 4 meter.

Rumah hanyut, rumah tenggelam, jambatan roboh, kehilangan nyawa insan tersayang, terputus bekalan sumber air mentah, ketiadaan makanan, terputus bekalan elektrik, terputus hubungan jalan darat, kesukaran operasi menyelamat, hospital lumpuh dan banyak lagi kisah sedih menjadi paparan berita setiap hari.

Ketika saudara di sana dilanda bencana, semestinya kita turut merasa simpati dan empati. Namun begitu, bukanlah bermaksud kita harus berduka 24 jam menatap berita di laman sosial tanpa berbuat apa-apa. Kita boleh berbuat sesuatu untuk membantu mereka. Kita juga masih ada urusan harian yang perlu diselesaikan. 

Usahawan suri bekerja dari rumah, apakah perlu kita hentikan semua aktiviti berkaitan bisnes di saat insan lain ditimpa bencana? Bagi saya ketika ini, bertindak bijak, bersederhana dan berpada-padalah ketika mempromosi bisnes kita dengan niat mencari rezeqi kerana Allah. Banyak cara untuk berbisnes selain mempromosi secara agresif di media sosial. Ada usahawan mengambil peluang ini untuk mengadakan jualan 'membeli sambil menderma' dan hasil jualannya disumbangkan sepenuhnya untuk operasi bantuan banjir. 

Walau apa jua keadaan kita, semuanya terjadi atas kehendak Allah. Ada hikmah yang perlu dicari. Sebagai seorang hamba Allah, peristiwa sebegini memberi peringantan yang cukup bermakna dan membuatkan kita semakin hampir denganNya. Pandang ke hadapan dan teruskan berusaha memperbaiki kualiti hidup.

No comments:

Post a Comment