31 January 2015

Jenis-Jenis Butang Hiasan

Entri 38

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Alhamdulillah hari ini seperti yang dijanjikan, saya akan berkongsi pula tentang jenis-jenis butang yang biasanya saya gunakan dalam hasil seni kraftangan felt. Untuk memudahkan kefahaman pembaca, saya bahagikan jenis butang mengikut kategori berbeza.

Kategori berdasarkan bahan pembuatan butang:
1) Resin
2) Plastik
3) Kayu


Kategori berdasarkan lubang butang:
1) Butang dua lubang
2) Butang empat lubang 


Kategori berdasarkan tapak bawah butang:
1) Butang berlubang
2) Butang berkaki
3) Butang belakang rata


Ada juga butang lain yang mempunyai fungsi selain sebagai hiasan. Contohnya butang katup dan butang bungkus. Butang seperti ini biasanya digunakan sebagai butang mencantum antara dua kain.

Diharapkan dengan penerangan ringkas tentang jenis-jenis butang, dapat membantu anda membuat pilihan semasa memilih butang. :)

30 January 2015

Koleksi Butang Di Makmal Jahitan

Entri 37

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Koleksi butang di makmal jahitan saya tidaklah sebanyak mana. Ada butang yang dibeli untuk kegunaan sendiri. Ada juga butang yang dibeli borong untuk dijualkan semula pada harga yang berpatutan.

Asalnya saya tidak pernah terfikir untuk menjadi salah seorang pembekal butang. Namun apabila saya seringkali ditanya tentang tempat saya membeli butang, saya mula terfikir kenapa tidak saya sendiri yang menjualnya. Lebih mudah untuk membantu kawan-kawan yang ingin mencari butang-butang comel dan menarik. Kesemua butang saya diperoleh daripada pemborong tempatan.




Butang yang berwarna-warni dan beraneka corak seakan menjadi terapi buat diri. Alhamdulillah hingga ke hari ini saya masih belum jemu menatap dan 'bermain' bersama butang. Dalam setiap jahitan kraftangan felt, saya suka menggunakan elemen butang untuk menambahkan lagi seri seni jahitan.

Ada beberapa jenis butang berbeza yang sering saya gunakan dalam seni kraftangan felt. InsyaAllah saya akan sambung ceritanya dalam entri esok. :)

29 January 2015

Jenis-Jenis Hiasan Pada Kraftangan Felt

Entri 36

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Cuba anda perhatikan pada 2 keping gambar di bawah.

Hiasan gantung di kereta.

Penggantung kad identiti.

Dapatkah anda mengenal pasti jenis hiasan yang dijahit atau dilekatkan pada kain felt? Mungkin ada yang selalu anda lihat. Tetapi mungkin juga ada hiasan yang membuatkan anda tertanya-tanya tentangnya. Jadi insyaAllah hari ini saya akan kongsikan jenis hiasan yang boleh digunakan untuk mencantikkan lagi produk felt kita.


1) Butang: Material yang paling kerap digunakan oleh pengusaha kraftangan felt di Malaysia. Bentuk dan coraknya yang pelbagai serta mudah digunakan, membuatkannya menjadi pilihan utama dalam menghias kain felt. Boleh digam atau lebih baik dijahit supaya kedudukannya tetap di atas kain felt.

2) Felt applique: Boleh direka sendiri kemudian dipotong secara manual menggunakan gunting atau dipotong menggunakan Big Shot. Felt applique dapat dilekatkan dengan kukuh dengan menggunakan gam UHU jika felt ditemukan dengan felt. Jahitan felt applique ke atas felt (contohnya pada bantal) adalah lebih digalakkan.

3) Brads: Diperbuat daripada material besi. Ia mempunyai 2 cangkuk yang dapat dibengkokkan di belakang. Cangkuk ini akan dimasukkan ke dalam lubang yang dibuat di atas kain felt. Kemudian cangkuk ini akan ditekan rapat ke felt supaya ia tidak bergerak.

4) Padded applique: Applique ini biasanya dari jenis kain berspan amat nipis, Boleh dilekatkan mahupun dijahit di atas felt.

5) Manik: Walaupun ia jarang digunakan, namun jika jahitan manik ini kena pada tempatnya maka ia akan menjadi seni halus yang amat cantik pada kain felt.

28 January 2015

Menghitung Tamatnya 100 Hari Berpantang

Entri 35

Teks: Nor Amalina Rohaizad

Alhamdulillah kini menghitung hari untuk menghabiskan sesi berpantang menjahit 100 hari. Tinggal lebih kurang 10 hari sahaja lagi. Selepas itu, saya berhajat untuk kembali menerima tempahan menjahit kraftangan felt. Namun, dalam jumlah yang terhad.

Putera bongsu sudah semakin bijak menarik perhatian Mamanya. Riuh rendah suasana di rumah dengan suara anak-anak. Abang suka mengusik Kakak. Kakak pula suka menjerit kuat lantas mengejutkan Adik yang sedang tidur. Jika Abang dan Kakak tidur setelah penat belajar dan bermain, Adik pula mengajak Mama berbual-bual. Masa di siang hari lebih tertumpu kepada anak-anak.

Sebagai ibu yang bekerja dari rumah, anak-anak adalah prioriti utama. Hanya setelah selesai urusan anak-anak, baru lah saya beralih perhatian terhadap pengurusan bisnes. Doa saya agar punya kesempatan dan kelapangan waktu untuk terus bekerja dari rumah sambil mendidik anak-anak di rumah.

27 January 2015

Rahsia Di Sebalik 'Mahal'nya Produk Kraftangan Felt

Entri 34

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

"Mahal sangat lah!"
"Keychain macam ni je pun RM5.00?"
"Tak boleh ke jual keychain ni sebiji RM1.00? Saya nak beli 10."
"Bahan nampak murah. Tapi kenapa mahal sangat jual?"

Sejujurnya sebelum saya melibatkan diri dalam bidang seni jahitan kraf, saya juga pernah menyuarakan soalan-soalan yang sama di dalam hati. Mungkin atas faktor kurangnya pendedahan terhadap kerja-kerja seni membuatkan diri saya kurang empati.

Benarkah produk kraftangan seringkali mahal harganya?

Bagi saya, mahal atau tidak itu sebenarnya bergantung kepada penilaian individu. Individu yang tahu menilai dan tahu menghargai hasil seni halus kraf, sudah tentu tidak akan mempertikaikan harga yang telah pun ditetapkan pada satu-satu produk kraf.


Produk kraftangan tidak sama dengan produk terhasil dari kilang. Mengapa?

1. Produk kraftangan adalah produk yang menggunakan tenaga kerja manusia dan memerlukan ketelitian yang tinggi semasa proses penghasilannya. Cara kerja manusia amat berbeza dengan cara mesin bekerja. Manusia perlukan rehat akibat keletihan setelah bekerja berjam-jam tanpa henti sedangkan mesin boleh beroperasi selama 24 jam tanpa henti dan tanpa ada sebarang masalah.

2. Produk kraftangan mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Walaupun produk yang dihasilkan hanyalah seutas rantai kunci felt berbentuk bintang misalnya, banyak proses yang perlu dilakukan untuk menyudahkannya. Bermula dengan aktiviti melukis pola, menggunting pola, menekap pola pada kain, menggunting kain, melekatkan butang hiasan, menjahit kain dan akhirnya memasang rantai kunci. Setiap proses ini mengambil sejumlah masa tersendiri. Ia tidak terhasil dalam tempoh 5 minit.

3. Harga material kraf untuk produk kraftangan biasanya dibeli dalam jumlah yang sedikit bergantung kepada keperluan semasa pengusaha produk kraf tersebut. Kos bahan yang dibeli dengan harga runcit adalah lebih mahal berbanding kos bahan yang dibeli secara borong seperti yang dilakukan di kilang.

4. Produk kraftangan adalah unik dan eksklusif. Satu produk mungkin hanya ada satu sahaja di dunia. Jika ada yang sama pun, tidak mungkin akan seiras 100%. 

5. Produk kraftangan dihasilkan mengikut kehendak pelanggan. Ini melibatkan proses perbincangan di antara pengusaha kraf dengan pelanggan. Ada pelanggan yang menyerahkan sepenuhnya penentuan corak dan reka bentuk produk. Pengusaha kraf perlu memperuntukkan sejumlah masa untuk mengeluarkan idea yang menepati citarasa pelanggan. Namun tidak kurang juga pelanggan yang cerewet dan punya citarasa tersendiri. Ini memaksa perbincangan dilakukan berulang kali sehingga kedua-duanya bersetuju dengan idea yang dipilih.

Setelah membaca 5 perkara di atas, adakah persepsi anda terhadap harga produk kraftangan felt akan berubah? Letakkan diri anda sebagai seorang pengusaha kraftangan. InsyaAllah anda akan lebih empati dan anda mungkin akan lebih menghargai apa jua produk kraftangan di masa akan datang.

Bersamalah kita menyokong produk kraftangan tempatan! :)

26 January 2015

Tips Menetapkan Harga Jualan Produk Kraftangan Felt

Entri 33

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Assalamualaikum dan salam Isnin penuh luar biasa ceria.

MashaAllah, hari ini saya rasa amat bersemangat mahu berkongsi satu entri yang sudah lama benar saya ingin tulis. Boleh dikatakan kerapkali juga peti mel saya dikunjungi pertanyaan dari usahawan-usahawan baru kraftangan felt yang ingin belajar cara menetapkan harga jualan kraf mereka.

Baik, saya mulakan dahulu dengan formula asas yang biasa saya gunakan. 

Harga Kos Produk = (Kos Bahan + Kos Upah) x 2*
*Boleh juga didarab dengan 3 atau 4, bergantung kepada cara operasi bisnes anda.

Formula ini sesuai digunakan oleh usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang kraftangan felt dan bisnes itu diusahakan secara persendirian dari rumah. Bagi usahawan kraf pada skala besar, ada lagi kos-kos tersembunyi yang sepatutnya dimasukkan juga dalam pengiraan harga kos produk. Contohnya bil elektrik, sewa kedai, kos pengangkutan, kos peralatan-peralatan yang digunakan dan lain-lain.

Contoh situasi: 
Menetapkan harga sebiji rantai kunci huruf.


Kos bahan-bahan:
3 keping felt 5cm x 5cm = RM0.30
1 biji rantai kunci = RM0.30
1 biji butang = RM0.10
6 cm reben grossgrain = RM0.10
1 keping kadbod 5cm x 5cm = RM0.10
Benang = RM0.10
Jumlah kos bahan = RM1.00

Kos upah:
Katakan masa untuk menyiapkan sebiji rantai kunci ini adalah 30 minit.
Jika ada pekerja, anda membayarnya upah menjahit RM4.00 untuk 1 jam.
Jadi kos upah = RM4.00 bahagi 2 = RM2.00

Oleh itu, harga kos produk = (RM1.00 + RM2.00) x 2 = RM6.00

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa perlu adanya kos upah sedangkan anda lah bos, anda lah juga pekerja yang menyelesaikan tugas menjahit. Keperluan kos upah hanya akan jelas apabila anda menerima tempahan yang banyak.

Katakan anda menerima tempahan 500 set rantai kunci. Anda boleh menyiapkannya sendiri tetapi adalah lebih bijak sekiranya anda mengupah seorang pembantu untuk turut sama menyelesaikan tempahan. Jadi kos upah itu sebenarnya adalah nilai upah yang anda akan bayar kepada pembantu tersebut.

RM6.00 untuk sebiji rantai kunci mungkin kedengaran amat mahal bagi kebanyakan dari kita rakyat Malaysia. Melihat kepada kos bahan yang cuma bernilai RM1.00 mungkin ada yang beranggapan bahawa usahawan tersebut sengaja ingin meraih untung yang tinggi sebanyak RM5.00. Mereka lupa akan kos-kos tersembunyi yang perlu ditanggung oleh usahawan tersebut.

Saya agak terkilan kerana produk kraftangan di Malaysia masih belum mencapai tahap yang sepatutnya ia dihargai. Sangat berbeza dengan negara luar. Jarang sekali harga produk kraftangan dipertikaikan. Mereka amat tahu menghargai seni dan menghargai masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan satu-satu jenis produk.

Didoakan entri hari ini, sedikit sebanyak dapat membantu anda yang masih ragu-ragu tentang cara penetapan harga kraf hasil sentuhan unik jari-jemari anda. Usah berasa segan-segan menetapkan harga yang setanding dengan kualiti jahitan dan kualiti material kraf yang anda gunakan. Pastikan harga produk anda setimpal dengan usaha dan kualiti yang ditawarkan.

Bersamalah kita menyokong dan menghargai produk kraf tempatan! :)


Update 19 Januari 2016:

Ini baru harga kos. Rupanya 'tergantung'. Belum dikira hingga HARGA JUAL rupanya.
Jadi, berapa harga jual? Berapa nilai untung yang anda mahu? :)
Jika ada pelanggan yang mahu beli secara borong, adakah pengiraannya sama?

Saya tinggalkan dahulu pembaca dengan soalan.
Ada jawapannya? Ada pandangan untuk dikongsi bersama?
Boleh tinggalkan di ruang komen di bawah ya.

17 January 2015

Jenis-Jenis Mata Pemotong (Dies)

Entri 32

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative dan Sizzix.com

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu.

Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang mesin pemotong kain felt yang bernama Sizzix Big Shot. Ada saya sebutkan bahawa tanpa dies atau tanpa mata pemotong maka Big Shot tidak akan dapat digunakan dengan cara sepatutnya. Jadi hari ini saya akan kongsikan pula tentang jenis-jenis dies yang biasa saya gunakan.

Sizzix bukan sahaja mengeluarkan Big Shot, malah mereka turut mengeluarkan dies jenama sendiri. Dies terbahagi kepada beberapa jenis mengikut saiz dan fungsinya. 


Dies yang biasa saya gunakan adalah dari jenis dies foam hitam tebal dan dies rangka besi nipis. Dies foam hitam tebal menjadi kegemaran saya walaupun harganya lebih tinggi. Dies jenis ini dapat menjimatkan masa dan menjimatkan tenaga kerana ia boleh memotong kain felt sebanyak 4 keping secara serentak. Manakala dies rangka besi nipis pula, boleh memotong hanya sekeping kain felt dalam satu masa. Harganya? Tentulah lebih murah berbanding dies tebal.

Dies rangka besi nipis.

Dies foam hitam tebal.

Reka bentuk dies yang ada di pasaran ditentukan oleh syarikat pengeluar dies itu sendiri. Walaupun saya lebih gemar dengan dies tebal, tetapi jika reka bentuk yang saya inginkan ada pada dies nipis sahaja, maka saya tiada pilihan untuk tetap menggunakannya.

Selain dies keluaran Sizzix, saya juga menggunakan Die-namic dies dari My Favourite Things dan dies dari Memory Box. Kedua-dua jenama ini biasanya hanya mengeluarkan dies jenis rangka besi nipis. Namun, reka bentuk dies yang dihasilkan sentiasa mampu membuatkan bakal pembeli rambang mata untuk memilih.

16 January 2015

Idea Buku Kain Aktiviti Untuk Kanak-Kanak

Entri 31

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Pinterest

Sewaktu leka membelek ratusan gambar di Pinterest, ada satu projek kraf felt yang amat menarik perhatian dan minat saya. Projek menghasilkan 'Busy Book' atau mungkin juga boleh diistilahkan sebagai 'Buku Kain Aktiviti' bagi kanak-kanak.

Sumber: http://thecraftingchicks.com

Sumber: http://www.sawdustandembryos.com/

Buku ini dihasil dengan menggunakan kain felt sebagai bahan asas. Tambahan zip, butang, reben, manik dan pelbagai lagi material kraf digunakan untuk mereka bentuk pelbagai jenis aktiviti menarik. Ada di antara laman web tersebut menunjukkan satu persatu cara untuk menghasilkan buku ini.

14 January 2015

Pinterest: Ruang Mencari Ilham dan Idea

Entri 30

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Google


Pernahkah anda mendengar tentang Pinterest?

Pinterest adalah laman media sosial percuma yang menampilkan perkongsian foto pada Pinboard. Sebelum menggunakan Pinterest, kita dikehendaki mendaftar terlebih dahulu. Di Pinterest, pengguna boleh pinkan foto dengan memuatnaik, menyimpan dan menguruskan foto tersebut pada satu koleksi yang dinamakan Pinboard. Jika ada pengguna lain yang berminat dengan foto yang kita pinkan, pengguna tersebut boleh pinkan semula pada Pinboardnya sendiri. Sama seperti konsep tweet dan retweet.

Bagaimanakah cara untuk menggunakan Pinterest?

Setelah mendaftar, kita perlu membuat Pinboard tentang kategori perkara yang kita ingin pin di Pinterest seperti Kraf Felt, Snek Sihat, Tips Masakan dan sebagainya. Kemudian di ruangan Search, kita boleh memilih kategori perkara yang kita minati. Contohnya, saya memilih kategori DIY & Crafts. Dalam kategori ini, ada banyak subkategori lain seperti Beads, Sewing, Needlecrafts dan lain-lain. Kita boleh ikuti atau follow mana-mana kategori yang kita minati, kemudian memilih foto yang memberi kita ilham dan idea. Setelah itu, kita boleh pinkan ia di Pinboard kita.

Apakah kegunaan Pinterest untuk kraftangan felt?

Adakalanya perasaan jemu menjengah di hati apabila seringkali menjahit pola kraftangan felt yang sama saban minggu. Biasanya untuk mencari ilham dan idea baru, saya suka menggunakan carian Google dengan menaip kata kunci 'kraf felt', 'felt craft', 'kreasi flanel' atau 'feltro'. Saya bukanlah seorang yang pandai mereka bentuk. Jadi cara ini adalah antara cara terbaik untuk saya mencari inspirasi.

Terbaru, saya suka menggunakan Pinterest untuk mencari idea-idea segar berkenaan kraftangan felt. Taip sahaja 'felt craft' di halaman utama, maka akan keluarlah beratus-ratus gambar yang boleh dipinkan. Setiap kali saya klik butang 'Pin It', gambar beserta alamat url gambar tersebut akan disimpan di Pinboard pilihan. Saya boleh mengasingkan nama Pinboard untuk projek kraf felt umum dan projek kraf felt kanak-kanak. Pinterest membolehkan koleksi gambar dihimpunkan dalam keadaan yang lebih tersusun. Pin feed pengguna akan memaparkan hasil peribadi unik setiap pengguna.

Di Pinterest, terdapat pelbagai projek buat-sendiri dan pola percuma khas untuk kraftangan felt. Saya juga boleh memuatnaik alamat url blog ini ke Pinterest dan berkongsi idea dengan penggiat kraf felt lain di seluruh dunia. Cara ini secara tidak langsung juga, membolehkan trafik blog meningkat.

Menarik bukan? :)

12 January 2015

Sesi Persekolahan 2015 Bermula

Entri 29

Teks: Nor Amalina Rohaizad

Assalamualaikum dan salam ceria.

Alhamdulillah, sesi persekolahan anak-anak seluruh negara kembali bermula. Selamat bertugas dengan penuh motivasi buat guru-guru Malaysia. 

Saya juga seorang guru kepada 3 orang pelajar di rumah. Mereka berumur 4 tahun, 2 tahun dan 2 bulan. Kami sama-sama belajar dan mengajar. Tiada silibus khas ditetapkan. Tetapi pelajarannya insyaAllah meliputi semua aspek penting untuk menjadi Muslim Mukmin yang berjaya dunia akhirat.

Untuk subjek Seni, kami ada topik Kraftangan Felt. Ada beberapa projek mini khas telah saya fikir dan rancangkan untuk anak-anak ini. InsyaAllah nanti saya kongsikan tutorial bergambar di blog ini nanti.

07 January 2015

Mesin Pemotong Felt: Sizzix Big Shot

Entri 28

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative dan Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Tahukah anda bahawa fabrik felt boleh dipotong menggunakan mesin?

Hari ini saya ingin berkongsi tentang mesin yang menjadi idaman hati hampir setiap usahawan kraftangan felt di Malaysia. Mesin ini diberi nama Big Shot dari jenama Sizzix. Selain Big Shot, Sizzix turut mengeluarkan mesin yang hampir sama fungsinya seperti Big Shot Pro, BIGkick, Vagabond dan Sophisticut.

Terdapat pelbagai jenis mesin pemotong dies di pasaran antarabangsa. Selain Sizzix, jenama lain yang turut popular di kalangan penggiat kraf adalah Spellbinder, Kreaxion dan Cuttlebug. Untuk mendapatkan mesin tersebut, anda boleh mendapatkannya dengan membuat tempahan terus melalui laman sesawang pengeluar mesin tersebut. Kadangkala ada juga usahawan kraf tempatan yang turut menjualnya.


Jika 2 tahun lepas, agak sukar untuk mendapatkan Big Shot di pasaran tempatan. Harganya pula agak mahal ketika itu. Namun sekarang tidak lagi. Anda boleh mendapatkannya dengan mudah dari pembekal material kraf tempatan. Saya sendiri adalah salah seorang pembekal mesin Sizzix Big Shot di Malaysia.


Mesin Big Shot berukuran lebih kurang 14 1/4" x 12 3/8" x 6 5/8" dan mempunyai jaminan 3 tahun. Mesin ini bersifat mudah alih dengan berat 3.4 kg. Ia boleh dibawa ke mana-mana mengikut kesesuaian tempat bekerja. 1 set Big Shot terdiri daripada 3 item iaitu mesin Big Shot sendiri, platform pelbagai guna dan sepasang pad pemotong. Selain digunakan untuk memotong felt, ia boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai bentuk hiasan bagi pembuatan kad, buku skrap, hiasan rumah, quilting, kraf kertas dan projek kraf yang lain.


Satu perkara yang perlu anda ketahui tentang mesin ini, ia mestilah digunakan bersama mata pemotong pembentuk atau lebih dikenali sebagai 'die'. Tanpa die, Big Shot tidak mungkin dapat menjalankan fungsinya. Dalam entri seterusnya, insyaAllah saya akan berkongsi pula tentang die.

05 January 2015

Kembali Bertugas

Entri 27

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative dan Wafiy Wellness

Alhamdulillah secara rasminya saya sudah kembali 'masuk bekerja'. Lokasinya masih dari rumah sambil dikelilingi anak-anak comel yang sudah bertambah menjadi 3 orang. Saya mulakan dengan aktiviti bisnes yang mudah seperti jualan fabrik felt, bahan keperluan asas kraf dan produk siap jahit. Perlu bagi saya untuk memanaskan enjin terlebih dahulu sebelum mula mengambil tempahan jahit produk felt semula.


Cabaran utama sekarang adalah tentang pengurusan masa. Selain mengusahakan bisnes kraftangan felt, saya kini telah menjadi ejen bagi Sutra Wellness yang menghasilkan produk-produk aromaterapi keluaran Muslim bumiputera. Pada masa yang sama juga, saya menjadi guru kepada anak-anak untuk sesi sekolah di rumah atau homeschooling. Masa yang ada perlu dimanfaatkan sebaiknya.


Memang ini lah impian saya. Bekerja dari rumah sambil mendidik anak-anak dengan tangan sendiri. Soal penat lelah saya ketepikan kerana saya sudah mula melihat hasilnya baik di dalam bisnes mahupun perkembangan anak-anak. Syukur Alhamdulillah.

03 January 2015

Perjuangan Hidup Mesti Diteruskan

Entri 26

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Google

Penutup 2014, beberapa buah negeri di Malaysia dikejutkan dengan peristiwa banjir yang luar biasa limpahannya. Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak terjejas teruk akibat bencana alam ini. Kementerian Pendidikan juga terpaksa mengumumkan penangguhan sesi persekolahan 2015 selama seminggu.


Umum mengetahui bahawa Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai Musim Tengkujuh akan melanda negeri-negeri di sebelah Pantai Timur saban tahun apabila tiba bulan November. Namun pada kali ini di Kelantan khususnya, 3 paras air di sungai utama iaitu Sungai Lebir, Sungai Kelantan dan Sungai Golok telah melepasi paras bahaya. Akibatnya, banyak kawasan lumpuh dan ditenggelami air sedalam hampir 4 meter.

Rumah hanyut, rumah tenggelam, jambatan roboh, kehilangan nyawa insan tersayang, terputus bekalan sumber air mentah, ketiadaan makanan, terputus bekalan elektrik, terputus hubungan jalan darat, kesukaran operasi menyelamat, hospital lumpuh dan banyak lagi kisah sedih menjadi paparan berita setiap hari.

Ketika saudara di sana dilanda bencana, semestinya kita turut merasa simpati dan empati. Namun begitu, bukanlah bermaksud kita harus berduka 24 jam menatap berita di laman sosial tanpa berbuat apa-apa. Kita boleh berbuat sesuatu untuk membantu mereka. Kita juga masih ada urusan harian yang perlu diselesaikan. 

Usahawan suri bekerja dari rumah, apakah perlu kita hentikan semua aktiviti berkaitan bisnes di saat insan lain ditimpa bencana? Bagi saya ketika ini, bertindak bijak, bersederhana dan berpada-padalah ketika mempromosi bisnes kita dengan niat mencari rezeqi kerana Allah. Banyak cara untuk berbisnes selain mempromosi secara agresif di media sosial. Ada usahawan mengambil peluang ini untuk mengadakan jualan 'membeli sambil menderma' dan hasil jualannya disumbangkan sepenuhnya untuk operasi bantuan banjir. 

Walau apa jua keadaan kita, semuanya terjadi atas kehendak Allah. Ada hikmah yang perlu dicari. Sebagai seorang hamba Allah, peristiwa sebegini memberi peringantan yang cukup bermakna dan membuatkan kita semakin hampir denganNya. Pandang ke hadapan dan teruskan berusaha memperbaiki kualiti hidup.

01 January 2015

2015 Penuh Semangat

Entri 25

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

*Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang*


Alhamdulillah kembali menulis dengan membuka lembaran baru di tahun 2015. Berbekalkan semangat luar biasa rajin dan luar biasa aktif, insyaAllah saya berazam untuk memberi manfaat yang lebih banyak kepada orang lain. Salah satunya adalah melalui penulisan blog. Saya doakan pembaca semua beroleh sesuatu setiap kali singgah di blog Panduan Kraftangan Felt ini.