28 October 2014

Cabaran Awal Menjadi WAHM

Entri 23

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative



Detik awal keinginan saya untuk menjadi wahm tercetus ketika mengandungkan anak pertama. Waktu itu, saya sedang bekerja di dalam bidang penyelidikan. Terlalu banyak perkara berbangkit yang bermain di fikiran. Pengaruh hormon yang tidak stabil juga barangkali turut menyumbang kegelisahan. Dari soal penyusuan anak, keselamatan, pendidikan, kesihatan, kewangan hinggalah ke perkembangan sosial. Semuanya bercampur-baur, meresahkan jiwa dan akhirnya terdetik di hati kecil: "Kenapa tidak saya sendiri saja yang menjaga anak ini nanti? Bukankah kebanyakan masalah itu akan selesai?".

Sesudah saya berfikir dengan mendalam, meminta pandangan suami dan ibu, disertai dengan solat istikhoroh memohon petunjuk daripadaNya, hati saya akhirnya lebih cenderung untuk berada di rumah. Saya bulat tekad untuk menjaga sendiri anak-anak yang bakal dilahirkan nanti. Namun terselit juga sedikit kegusaran tentang hal kewangan. Maklumlah saya dan suami baru setahun mendirikan rumah tangga. Saya lebih suka berkongsi susah senang bersama suami dalam membangunkan ekonomi keluarga. Maka ada keperluan bagi saya untuk merancang bagaimana saya boleh terus bekerja dari rumah.

Memegang segulung ijazah dan bekerja dalam bidang profesional rupanya menjadi faktor wujudnya cabaran awal bagi saya. Alhamdulillah suami awal-awal lagi sudah memahami dan memberi sokongan tatkala saya menyuarakan hasrat ingin mengusahakan bisnes dari rumah. Namun di kalangan ahli keluarga dan saudara mara yang lain, ramai yang kurang bersetuju. Impian saya dipertikai dan saya diminta menimbang semula keputusan yang diambil sewajarnya. Maklumlah, kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional dan ahli akademik. Tiada seorang pun yang pernah terlibat dengan bisnes dari rumah. Menjadi wahm dilihat seakan mustahil dilakukan. Satu demi satu soalan bernada negatif dilontarkan kepada saya. Hati terguris dan saya agak kecewa dengan respons yang diberi sedangkan saya mengharapkan sokongan mereka. Namun saya tetap positifkan minda dan terus memandang ke hadapan bagi merealisasikan hasrat ingin menjadi wahm. Sokongan, restu dan doa suami serta ibu sudah cukup buat saya kuat untuk memulakan langkah pertama.

Menjadi wahm bererti saya perlu melepaskan gaji tetap bulanan yang selesa. Corak perbelanjaan saya berubah sekelip mata dan situasi itu agak mencabar pada mulanya. Serentak dengan itu, saya perlu lebih bijak berbelanja. Utamakan barang keperluan dan lupakan seketika barang kehendak. Dalam kekangan kewangan, saya menjadi lebih cermat, berhati-hati dan teliti menguruskan wang. Walaupun suami berpendapatan tetap dan agak selesa, itu bukanlah alasan bagi saya untuk terus-terusan berbelanja tanpa kawalan. Keluarga kami bakal berkembang. Mahu atau tidak, simpanan untuk masa hadapan perlu ada. Bersungguh-sungguh saya merancang perbelanjaan bulanan rumah dan modal awal bisnes yang diusahakan.

Permulaan awal menjadi wahm, saya tidak terlalu mempunyai masalah dengan pengurusan masa. Anak baru seorang. Sifat bayi itu sendiri pula, lebih banyak tidur daripada terjaga. Urusan rumah tangga dan bisnes berjalan secara teratur. Namun apabila usia bayi mula mencecah enam bulan, sudah pandai mengajak bermain dan sudah pandai menangis apabila ditinggalkan walau hanya sebentar, cabaran masa mula menguji jadual waktu seharian. Tempahan pelanggan yang semakin bertambah juga membuatkan saya mula tidak menang tangan. Makan tidak sempat, rehat tidak cukup. Emosi saya pula mula terganggu dek pengurusan masa yang semakin kacau-bilau. Hal itu saya suarakan kepada suami tercinta. Beliau banyak menasihati dan mengingatkan kembali niat asal saya menjadi wahm. Solusinya, saya hadkan tempahan jahitan dan menyiapkan tempahan di sebelah malam. Siang hari diluangkan sepenuhnya untuk anak. Hujung minggu atau hari cuti pula, suami banyak membantu menguruskan hal anak dan rumah. Jadi saya punya ruang dan peluang untuk menyiapkan tempahan.

Selain cabaran sokongan keluarga, pengurusan kewangan dan pengurusan masa, saya tidak terlepas dari cabaran pengurusan bisnes. Untuk membina laman web, blog dan email khas bisnes tidak menjadi masalah kerana latar belakang saya adalah dari bidang teknologi maklumat. Saya juga pernah berbelanja dan melakukan transaksi secara online. Namun itu hanya membantu 10% sahaja daripada langkah awal membangunkan bisnes. Banyak lagi selok-belok bisnes yang saya belum mahir. Penetapan harga produk kraftangan juga menjadi cabaran. Apatah lagi untuk menguruskan akaun bisnes. Mencari stok material kraf, mengira modal, mengira perbelanjaan, menguruskan stok material kraf yang dibeli, mengambil tempahan, merekabentuk kraf, menjahit seterusnya menghantar produk siap kepada pelanggan, semuanya dilakukan sendiri tanpa pembantu. Terlalu banyak perkara baru yang perlu saya adaptasi dalam masa yang singkat kerana tidak disangka-sangka pelanggan semakin ramai. Berurusan dengan pelanggan di alam maya juga mempunyai cabaran tersendiri. Namun cabaran ini saya terima dengan hati terbuka dan saya banyak belajar daripada pengalaman.

Cabaran awal yang dilalui sebenarnya adalah satu proses untuk mematangkan diri supaya kita benar-benar jelas dan yakin dengan pilihan yang dibuat. Syukur, fasa kritikal yang amat mencabar emosi saya sudah pun berlalu. Kini hanya pujian dan kata-kata positif menjadi halwa telinga. Ramai juga yang mula bertanya tips dan rahsia untuk menjadi wahm. Setelah lebih 3 tahun menjadi wahm, bisnes seni jahitan kraftangan felt yang diusahakan semakin dikenali ramai. Memang mencabar apabila harus membuat dua tugasan serentak. Melayan anak-anak yang semakin membesar di depan mata dan mengendalikan bisnes yang semakin berkembang. Namun alhamdulillah saya tetap positif dan gembira dengan apa yang saya usahakan sekarang.

Hidup ini penuh cabaran. Cabaran adalah warna yang menghiasi dan mencorakkan kanvas kehidupan. Memang Allah jadikan dunia ini sebagai tempat untuk manusia diuji. Setiap ujian dan cabaran yang timbul, pasti wujud hikmah di sebaliknya. Cabaran boleh diatasi dengan ilmu dan pengalaman. Berbahagialah andai kita tergolong dalam mereka yang tenang dan sabar menghadapi cabaran. Sesungguhnya Allah menjanjikan syurga sebagai ganjaran.

11 October 2014

Tutorial Felt 5: Rantai Kunci Huruf

Entri 22

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu. 

Apakah aktiviti kalian semua bersama seisi keluarga? Hari ini saya ingin kongsikan satu lagi tutorial mudah yang boleh dilakukan bersama anak-anak seawal usia 7 tahun.


Bahan-bahan yang diperlukan adalah: Kain felt keras pelbagai warna, pen penanda, gunting, gam, benang, jarum. mounting board, reben dan rantai kunci.

Mula-mula potongkan kain felt berbentuk bulat sebanyak 2 keping dengan diameter 6 cm. Potongkan lagi sekeping kain felt berlainan warna dengan diameter 5 cm. Lukiskan pola 1 huruf yang dimahukan, misalnya huruf I, A, M atau apa-apa saja huruf.

Ambil mounting board, lukiskan bulatan dengan diameter 5 cm dan guntingkannya. Pastikan gunting yang digunakan adalah bersesuaian dengan kepingan mounting board yang agak keras dan sederhana tebal.

Potongkan reben sepanjang 5 cm kemudian lipat dua dan gamkan pada penjuru sekeping kain berdiameter 6 cm. Gamkan pula mounting board berbentuk bulat tadi di atas kain yang sama. Ketepikan dahulu kain ini. 

Sementara itu di atas kepingan kain berdiamater 5 cm, jahitkan potongan huruf yang dipilih di atasnya. Jenis jahitan boleh dipilih sama ada ingin menggunakan jahitan kia, sembat atau jelujur halus. Setelah selesai jahitan huruf, jahitkan pula kain berdiameter 5 cm itu di atas kain berdiameter 6 cm yang lain.

Susun kain yang selesai dijahit huruf ke atas kain yang sudah ditampalkan reben dan mounting board sebelum ini. Cantumkan kedua-dua kepingan kain dengan menggunakan jahitan insang pari sebagai kemasan di sekeliling kain.

Akhir sekali, pasangkan rantai kunci dan anda boleh hiaskan huruf dengan menggunakan hiasan butang. Selamat mencuba! :)

10 October 2014

Tutorial Felt 4: Kek Cawan Felt Bermagnet

Entri 21

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative


Assalamualaikum semua. 

Tutorial kek cawan bermagnet hari ini menggunakan 3 jenis asas jahitan iaitu jahitan sembat, jahitan kia dan jahitan insang pari. Felt yang digunakan adalah jenis felt poliester (felt keras). Anda juga boleh menggunakan felt lembut untuk projek ini.

Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah melukis pola kek cawan di atas sekeping kertas. Kemudian tekapkan pola di atas kain felt mengikut warna kesukaan. Saya menggunakan felt kuning untuk bahagian bawah kek manakala felt biru sebagai topping kek.

Tandakan bahagian mata dan lukiskan garisan mulut. Buatkan lubang kecil di bahagian mata untuk memasukkan brads kecil berwarna hitam. Buatkan jahitan kia pada lukisan mulut menggunakan benang merah. 

Hiaskan bahagian topping kek dengan butang comel mengikut design kegemaran. Gamkan sedikit di bahagian belakang butang untuk menetapkan kedudukannya, diikuti dengan jahitan untuk mengukuhkan lagi butang agar tidak mudah tercabut.

Jahitkan jahitan jenis insang pari di sekeliling kepingan kain yang ditindan dua. Tinggalkan sedikit ruang kosong lebih kurang 3 cm untuk memasukkan fiber di dalamnya. Tolakkan fiber menggunakan kayu kecil supaya ruang di dalam kek cawan terisi penuh dan padat. Setelah itu, tutupkan ruang tidak berjahit tadi dengan meneruskan jahitan insang pari.

Akhir sekali, gamkan magnet di bahagian belakang kek cawan. Kek cawan ini sedia dilekatkan di mana-mana bahagian berlogam seperti peti sejuk dan papan kenyataan. Anda boleh juga menggunakan kreativiti untuk menghasilkan design lain seperti buah-buahan atau sayur-sayuran. Nombor atau huruf bermagnet juga boleh dihasilkan melalui cara ini untuk dijadikan alat bantu mengajar anak-anak.

Selamat mencuba! :)

08 October 2014

Tempahan Akhir Sebelum Rehat Panjang

Entri 20

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative


Andai sudah biasa sibuk bekerja, agak sukar untuk berhenti berehat. Itulah yang terjadi pada diri saya. Alhamdulillah masih kekal aktif menghasilkan kraftangan felt sambil menanti hari detik kelahiran cahaya mata ketiga.

Doakan agar Allah permudahkan urusan saya dan urusan kami sekeluarga. :)

02 October 2014

5 Entri Paling Popular Sehingga September 2014

Entri 19

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Google


Alhamdulillah Oktober sudah pun tiba. Bila-bila masa sahaja dari sekarang, saya akan mula berehat panjang daripada aktiviti menjahit dan aktiviti berniaga.

Sehingga hujung September 2014, suka untuk saya menganalisa serba sedikit tentang minat pengunjung yang hadir ke blog seni kraftangan felt ini. InsyaAllah dengan mengetahui kecenderungan pembaca, saya akan berusaha untuk menulis lebih banyak entri yang berkaitan.

5 entri paling banyak dibaca setakat hari ini:


Sekali imbas, saya dapati ramai pengunjung blog suka membaca maklumat tentang asas permulaan kraftangan felt. Sebelum mula menjahit kraf felt sama ada hanya untuk suka-suka ataupun untuk tujuan berniaga, penting bagi kita untuk merancang bahan dan peralatan yang akan digunakan. Jadi, entri tersebut insyaAllah dapat memberi panduan dan gambaran awal sebelum mula menjahit.

Pengunjung juga suka membaca tips mudah dan tutorial untuk menghasilkan sendiri produk kraftangan felt. Tips yang saya tulis adalah berdasarkan pengalaman sendiri yang mencari penyelesaian terhadap sesuatu cabaran atau masalah berkaitan kraf. Saya percaya melalui perkongsian tips, pembaca yang lain bakal memperoleh manfaat yang sama. Tutorial pula ditulis dengan harapan agar perkongsian ilmu yang sedikit itu bakal menjadi saham untuk saya di Akhirat sana. Lebih banyak kita memberi, insyaAllah Allah pulangkan lebih banyak nikmatnya kepada kita.

Doakan suatu hari nanti, saya bakal hasilkan beberapa buah buku berkaitan seni kraftangan felt. InsyaAllah langkah awal bermula dengan e-book dan seterusnya buku fizikal. Harapan dan doa saya, dengan adanya buku-buku tersebut, lebih ramai wanita di Malaysia ini minat dan boleh menjahit kraftangan mudah, seterusnya mampu menjana pendapatan dari rumah.