28 September 2014

Tutorial Felt 3: Penanda Buku Felt

Entri 18

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Alhamdulillah setelah mengetahui tips bagaimana untuk menghasilkan pola, hari ini saya kongsikan pula tutorial untuk memanfaatkan pola yang telah ada. Projek kraf ini amat mudah dan ringkas. Kanak-kanak pun boleh lakukannya.

Bahan-bahan yang diperlukan:
Kain felt yang siap dipotong mengikut pola kegemaran, butang, batang kayu berwarna-warni dan gam tembak. Jika tiada gam tembak, gam UHU juga boleh digunakan.

Cantum dan gamkan kepingan-kepingan felt. Hiaskan dengan butang.

Gamkan bunga yang dihias butang tadi ke atas batang kayu.

Kedudukan kepingan felt pada kayu adalah seperti yang ditunjukkan pada kayu hijau.

Pada batang kayu, bolehlah ditulis kata-kata motivasi untuk menambah nilai pada penanda buku. Kata-kata motivasi tersebut boleh ditulis menggunakan tangan atau dicetak dari komputer.

Pelbagai jenis rekaan penanda buku yang ceria berjaya dihasilkan.

Mudah kan? Projek kraf felt ini amat sesuai dijadikan aktiviti masa lapang bersama anak-anak. Mungkin dengan adanya penanda buku yang comel seperti ini dapat menarik minat anak-anak untuk lebih gemar membaca buku. Selamat mencuba! :)

25 September 2014

Amal Creative: Produk dan Servis

Entri 17

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah hari ini saya ingin kongsikan tentang bisnes kraftangan felt yang saya jalankan sejak penghujung tahun 2010. Bisnes ini dikendalikan sepenuhnya oleh saya sendiri. Sekali-sekala saya akan dibantu oleh ibu dan adik perempuan saya yang sememangnya sudah mahir menjahit. Suami juga turut membantu dalam beberapa aspek teknikal.

Amal Creative Enterprise merupakan syarikat yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kami beroperasi di bawah label Amal Creative. Walaupun bisnes kami 100% dijalankan di rumah secara atas talian, penting bagi kami untuk menjadi syarikat yang sah dan berdaftar. Ini secara tidak langsung dapat membantu menambahkan kepercayaan pelanggan dan bakal pelanggan kami.

Asas perniagaan kami adalah berkaitan seni kreatif kraftangan felt. 3 jenis produk dan servis yang ditawarkan oleh Amal Creative:

1) Mengambil tempahan produk kraf felt dan menjual produk kraf siap jahit.


Produk kraf felt yang comel dan berwarna-warni sememangnya menjadi antara pilihan popular untuk dijadikan hadiah atau cenderahati. Biasanya tempahan dalam kuantiti yang besar diperolehi daripada guru-guru sekolah, penjawat awam dan swasta, pelajar latihan industri dan juga bakal raja sehari. Ini kerana, produk felt sesuai dijadikan cenderahati untuk pelbagai jenis majlis seperti majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis akhir tahun dan majlis perpisahan. 

Ada juga individu yang menempah produk felt untuk dijadikan hadiah istimewa sempena hari lahir, hari guru, hari ibu atau sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan. Tempahan dalam jumlah yang sedikit juga kami terima setiap masa. Tiada tempahan minima yang kami hadkan.

2) Membekalkan material kraf untuk kraf felt.


Ada di antara peminat kraftangan felt ingin cuba menghasilkan sendiri produk jahitan mereka. Saban hari kami ditanya di manakah bahan dan peralatan yang kami gunakan itu boleh didapati. Bertitik tolak dari situ, kami mengambil inisiatif untuk turut menjual material asas kraf felt bagi memudahkan pelanggan yang bertanya. Selain bahan asas seperti kain felt keras dan felt lembut, kami menjual butang-butang, applique dan reben untuk dijadikan hiasan produk felt.

Material kraf ini juga biasanya dibeli oleh rakan-rakan penggiat seni kraf felt. Mungkin kerana berurusniaga dengan seseorang yang dikenali biasanya lebih selamat dan boleh dipercayai. Untuk mereka yang baru bermula dan baru ingin mencuba pula, kami tawarkan pek permulaan kraf felt yang mengandungi set lengkap bahan dan peralatan asas kraf felt.

3) Menganjurkan kelas jahitan kraf secara individu atau berkumpulan.


Sepanjang penubuhan Amal Creative, kami berpengalaman menganjurkan lebih daripada 5 kelas berkumpulan mahupun kelas individu bagi mereka yang berminat dan serius untuk mempelajari seni kraf felt. Walaupun terdapat ribuan tutorial percuma atau video percuma yang mudah diperolehi secara online, belajar dengan kaedah berguru adalah cara yang terbaik. Pelajar yang datang ke kelas dapat menggunakan peluang menimba ilmu secara maksima dengan bertanya secara terus tentang teknik yang digunakan dalam penghasilan produk kraf felt.

Pelajar yang menghadiri kelas kraf Amal Creative terdiri dari pelbagai lapisan umur. Bermula dari semuda pelajar sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi. Golongan lain yang gemar menghadiri kelas kraf terdiri daripada suri bekerja dari rumah, suri yang ingin mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan juga wanita bekerjaya yang ingin mendapatkan pendapatan sampingan. Biasanya kelas diadakan pada hujung minggu.


Untuk menghubungi kami, sama ada untuk menempah produk kraf felt, mendapatkan material kraf felt atau ingin mengikuti kelas yang kami anjurkan,
 berikut adalah maklumatnya:

Amal Creative
Email: amalcreative85@gmail.com
Facebook Page: Amal Creative
Nombor telefon: 019 2111934 (SMS/Telegram sahaja)

24 September 2014

Tips Mudah Mendapatkan Pola Atau Templat Kraf Felt

Entri 16

Teks: Nor Amalina Rohaizad

"Kak Amal, kat mana nak cari template yang comel-comel?".
"Mal, template tu Mal lukis sendiri ke?".
"Ada jual tak template yang Mal guna?". 
"Font yang Kak Mal guna tu nak buat macam mana?"

Soalan-soalan seperti ini seringkali menerjah masuk ke ruangan inbox saya. Semuanya berkisar tentang bagaimana untuk mendapatkan pola atau template untuk dijadikan asas rekaan kraftangan felt. InsyaAllah dalam entri kali ini saya akan kongsikan cara-cara yang biasa saya gunakan.

Ada 4 tips mudah untuk dapatkan pola yang diingini:

1) Lakar dan lukis sendiri pola dengan tangan.
Gunakan bakat semulajadi anda dalam bidang lukisan untuk menghasilkan pola sendiri. Lukis di atas sehelai kertas kemudian guntingkan kertas itu untuk menjadikannya pola sebelum ditekap di atas kain felt.

2) Lukis guna perisian komputer yang mudah seperti Microsoft Word.
Bentuk asas seperti bulat, empat segi, bintang atau bunga biasanya sudah ada di dalam perisian mudah seperti MS Word. Anda hanya perlu pilih bentuk yang diingini, tentukan saiz yang sesuai, cetak dan gunting untuk menghasilkan pola asas. Dengan menggunakan MS Word juga, anda dapat menghasilkan pola tulisan yang menarik.

3) Buat carian menggunakan Google.
Reka bentuk yang lebih rumit seperti watak kartun atau tulisan berseni biasanya memberi lebih cabaran bagi mereka yang tiada bakat melukis. Carian Google dapat membantu. Hanya taipkan watak kartun yang ingin dicari, pindahkan fail imej ke dalam MS Word, tentukan saiz dan kemudian cetak untuk menghasilkan pola.

4) Beli pola/templat siap yang dijual online.
Ada juga di kalangan penggiat seni kraftangan felt yang menjual pola atau template siap untuk memudahkan anda. Hanya perlu hubungi mereka untuk urusan pembelian pola tersebut.

Sudah tahu caranya? Mudah kan. :) Didoakan agar entri kali ini memberi sedikit pencerahan untuk mereka yang tertanya-tanya bagaimana untuk mendapatkan pola untuk projek kraftangan felt.

18 September 2014

Ragam Pelanggan Online

Entri 15

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Google



Alhamdulillah sudah empat tahun saya bergelar peniaga online setelah lebih sepuluh tahun hanya menjadi pelanggan online. Pengalaman diri sendiri menjadi pelanggan sebenarnya banyak mencorak dan mempengaruhi cara saya mengendalikan ragam pelanggan yang pelbagai. Ada pelanggan yang amat mudah berurusniaga, ada juga yang cerewet. Itu semua lumrah hidup manusia. Tidak dapat dielakkan. Malah perlu ditangani secara bijak.

Pelanggan yang mudah berurusan saya cirikannya seperti berikut:
  1. Sudah membaca dan memahami dengan jelas setiap terma dan syarat syarikat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tempahan.
  2. Membuat penyelidikan awal dengan membaca deskripsi album atau foto produk yang ingin ditempah.
  3. Menunjukkan kesungguhan untuk membuat tempahan dengan menghantar mesej ke ruang peti mail untuk perbincangan lanjut.
  4. Menyenaraikan dengan terperinci kuantiti dan butiran produk yang ingin ditempah.
  5. Faham dengan harga produk kraftangan yang biasanya lebih tinggi dari harga produk kilang.
  6. Menyelesaikan bayaran dalam tempoh 24 jam setelah invois diberi.
  7. Memberi sepenuhnya kepercayaan dalam proses menyiapkan tempahan dengan tidak bertanyakan status tempahan setiap hari.
  8. Sabar menunggu giliran memandangkan item yang ditempah adalah produk kraftangan yang memerlukan ketelitian dan mengambil banyak masa untuk menyiapkannya.
Syukur tidak terhingga andai setiap pelanggan yang datang, mempunyai ciri-ciri yang saya sebutkan di atas. Hati pun rasa senang dan tenang untuk menyiapkan tempahan. Saya sendiri mengamalkan perkara yang sama apabila membuat tempahan produk dari rakan-rakan penggiat seni kraftangan yang lain. Faham benar dengan situasi yang mereka lalui. Hampir sama dengan situasi sendiri.

Bagi peniaga online, tidak sah sekiranya tidak menghadapi cabaran karenah pelanggan. Saya sendiri menghadapinya hampir setiap hari. Perkara yang sama dari individu berbeza. Antara cabaran karenah pelanggan yang biasa saya hadapi:
  1. Tidak faham terma dan syarat syarikat.
  2. Mahu tempahan disiapkan segera.
  3. Setiap hari menghantar mesej bertanyakan status tempahan.
  4. Mempertikai harga jualan produk.
  5. Minta diberikan diskaun dengan kadar yang tidak munasabah.
  6. Membandingkan harga produk dengan peniaga lain walaupun jelas kualiti atau material produk peniaga lain tidak sama.
  7. Barangan sudah dipos masih belum tiba ke tangan pelanggan atas masalah teknikal pihak pos, tetapi peniaga disalahkan.
Apabila menghadapi pelanggan sebegitu, seboleh mungkin saya akan bertenang terlebih dahulu sebelum membalas mesej pelanggan. Bimbang emosi mendahului akal fikiran memandangkan saya juga insan biasa yang punya hati dan perasaan. Setelah bersedia, saya akan jelaskan sebaik mungkin kenapa situasi yang kurang menyenangkan pelanggan itu boleh atau mungkin terjadi. Biasanya selepas dijelaskan secara baik, insyaAllah pelanggan akan faham dan menerimanya secara baik.

Tanpa pelanggan, siapalah kita.

Justeru andai diuji dengan karenah pelanggan, anggaplah ia sebagai ujian dan teguran Allah untuk mematangkan diri kita dalam dunia bisnes. Saya doakan diri saya dan rakan-rakan bisnes online yang lain, sentiasa bijak, tenang dan terkawal emosi ketika berhadapan dengan cabaran seperti ini.

Senyum selalu. :)

14 September 2014

Projek Kemaskini Stok Kain Felt

Entri 14

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Alhamdulillah hari ini dapat berehat dari melakukan tugasan rumah. Semuanya diambil alih oleh suami tercinta. Peluang ini saya ambil untuk menyiapkan tugasan penulisan ABDR. Seminggu yang sibuk bersama anak-anak sambil menyiapkan tempahan kraftangan felt. Saya hampir pengsan. Apa tidaknya, siang dan malam saya menguruskan rumah seorang diri. Dalam tempoh itu, suami tiada kerana berada di luar negeri demi tugasannya.

Semua kain yang belum dipotong dikeluarkan ke ruang tamu.

Stok kain felt lembut.

Stok kain felt keras.

Minggu lepas, saya letakkan target untuk menyiapkan tugasan memotong kain felt ini ke saiz tertentu sebelum dijual secara online. Kain felt yang diperolehi daripada pembekal, semuanya bersaiz lebih daripada 1 meter untuk setiap warna. Saya mempunyai koleksi 35 warna felt poliester dan 24 warna felt akrilik. Jadi bayangkan betapa banyaknya jumlah kain yang berada di ruang kerja. Amat semak di mata saya.

Oleh kerana ketiadaan pembantu, saya melakukan kerja-kerja memotong kain ini seorang diri. Bukan mudah untuk menyiapkannya. Keadaan fizikal membataskan dan melambatkan proses. Ditambah pula dengan 'bantuan' dari anak-anak yang sentiasa setia menunggu dan melihat saya menggunting kain. Ada saja tangan-tangan kecil yang cuba mengambil gunting di tangan saya. Amat menguji kesabaran.

Target siap dalam masa 2 hari tidak berjaya dicapai. Masih ada 30% kain yang belum dipotong. Namun Alhamdulillah saya tetap gembira dan syukur kerana saya 'dipaksa' kekal aktif. Amalan baik untuk ibu mengandung sebenarnya. InsyaAllah saya doa agar minggu ini saya berjaya selesaikan tugasan berbaki.

07 September 2014

Tutorial Felt 2: Bunga Felt Gulung (Die-Cut)

Entri 13

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Isnin yang produktif. Alhamdulillah.

Dalam Tutorial 1, kita sudah pun belajar menghasilkan satu jenis bunga felt yang dipotong sendiri secara manual menggunakan tangan. Kali ini kita belajar pula cara menghasilkan dua jenis bunga, di mana bentuk bunganya dipotong menggunakan mesin pemotong felt.

Felt yang digunakan adalah jenis felt lembut atau akrilik.

Bahan dan alatan yang diperlukan:
Kain felt, gunting dan gam.

Bunga 1: Ros

Langkah-langkah menghasilkan bunga ros:
1) Ambil sekeping felt yang sudah dipotong. Gamkan sedikit pada hujungnya.
2) Mulakan gulungan.
3) Gulung secara arah membulat. Pastikan gulungan itu kemas di bahagian atas dan bawah supaya terhasil bentuk ros.
4) Di akhir gulungan, gamkan untuk menutup bahagian bawahnya.
5) Potong sedikit felt berbentuk bulat untuk menutup dan mengemaskan lagi bahagian bawah bunga.
6) Bunga ros yang sudah siap.

Bunga 2: Rolled Mum

Langkah-langkah menghasilkan bunga rolled mum:
1) Ambil 2 keping felt sama bentuk yang sudah dipotong. Tindankan kedua-dua felt dan gamkan sedikit pada hujung kedua-duanya.
2) Mulakan gulungan.
3) Gulung secara arah membulat. Pastikan gulungan itu kemas di bahagian atas dan bawah supaya terhasil bentuk bunga yang diingini. Kemaskan dengan gam jika perlu.
4) Di akhir gulungan, gamkan untuk menutup bahagian bawahnya.
5) Potong sedikit felt berbentuk bulat untuk menutup dan mengemaskan lagi bahagian bawah bunga.
6) Bunga rolled mum yang sudah siap.

Kedua-dua jenis bunga ini amat sesuai dijadikan bunga hiasan untuk keronsang, klip rambut, cekak bayi, dekorasi pada bantal mahupun dekorasi dinding rumah. InsyaAllah dalam entri yang akan datang, saya akan ceritakan pula tentang mesin pemotong felt yang digunakan dalam tutorial ini.

06 September 2014

Paparan Media: Majalah Ibu & Anak September 2013

Entri 12

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Alhamdulillah telah disiarkan di dalam:

Majalah: Ibu & Anak
Edisi: September 2013
Terbitan: Utusan Karya

Terima kasih sekali lagi buat Puan Norhafiza Mohd Zain dan jurugambar Cik Nur Nabila Khalid yang telah hadir bagi merakamkan foto produk-produk kraftangan Amal Creative.






05 September 2014

Sesi Rakaman Bersama Majalah Ibu dan Anak 2013

Entri 11

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu.

Alhamdulillah jika pada tahun 2012 saya berpeluang muncul di kaca televisyen dalam siaran rakaman Tv-AlHijrah, pada tahun 2013 pula rezeqi produk Amal Creative muncul di dalam majalah Ibu dan Anak. Satu lagi pengalaman berharga untuk diri ini.

Sesi rakaman gambar bermula.

Satu demi satu produk felt dirakamkan.

Mencari posisi terbaik untuk merakamkan gambar.

Bersama Puan Fiza

Jurugambar Cik Bella.

Terima kasih sudi hadir ke kediaman kecil kami.
Serba ungu kita semua bagai sudah dirancang. :)

04 September 2014

Persiapan Menyertai Booth Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2014

Entri 10

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Sepanjang minggu ini saya sibuk menyiapkan produk-produk kraftangan felt sempena sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia Peringkat Kebangsaan 2014. Tiga produk pilihan semuanya berkaitan dengan ibu dan bayi. Peluang menyertai booth ini baru sahaja saya perolehi minggu lepas jadi saya agak kesuntukan masa untuk menyiapkan lebih banyak produk.

Rantai kunci "I Love BF".

Bunga-bunga yang baru digulung menggunakan felt lembut. 
Daun-daun pula menggunakan felt keras.

Himpunan baby headbands dengan bunga pelbagai warna dan bentuk.

Keronsang yang diperbuat daripada reben. 

Baby headband menggunakan guna lace yang mesra kulit kepala bayi. Tidak meninggalkan kesan kerana tidak ketat. Muat elok untuk bayi 3 bulan ke atas. Untuk bayi baru lahir semestinya agak longgar. Apabila memakai headband ini, bayi mungkin tidak perasan ada headband di atas kepalanya. 

Keronsang pula saya gunakan reben pelbagai corak. Apabila dipinkan di tudung, ibu tidak perlu risau muka anak calar seperti menggunakan pin besi biasa yang berkerawang. Mesra bayi. Cara penjagaannya seperti keronsang lain juga. Harus simpan elok-elok di dalam bekas bertutup untuk elak habuk terkumpul di besi pin dan harus elakkan dari terkena air secara terus untuk mencegah karat.

03 September 2014

Tutorial Felt 1: Keronsang Bunga Pompom Gulung

Entri 9

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Alhamdulillah hari ini saya ingin kongsikan tutorial pertama, langkah-langkah menghasilkan sejenis keronsang bunga dari fabrik felt. Amat mudah kerana tidak memerlukan sebarang teknik jahitan. Hanya gunting, gam dan gulung sahaja.

Bahan dan alatan yang diperlukan: 
Kain felt, pensel penanda, gunting, gam UHU, gam tembak, pembaris dan keronsang bulat.

Langkah-langkah membuatnya:
1) Ukur satu jalur felt berukuran 3 inci x 12 inci.
2) Potongkannya.
3) Sapukan gam di sepanjang satu sisi jalur tadi. Lipat dua.
4) Guntingkan di sepanjang bahagian berlipat. Hati-hati, jangan sampai putus.

5) Jalur felt yang sudah siap digunting di bahagian berlipat.
6) Gamkan sedikit di hujung kain dan gulungkannya sehingga membentuk bunga.
7) Gunting felt untuk daunnya.
8) Gamkan daun di bahagian belakang bunga yang telah siap.

9) Gamkan pula keronsang bulat. Gam tembak lebih sesuai digunakan.
10) Kiri: Bunga dari felt akrilik. Kanan: Bunga dari felt poliester.

Keronsang bunga pompom gulung pelbagai saiz. 

Selamat mencuba!

01 September 2014

Jenis-jenis Gunting Dan Fungsinya

Entri 8

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Kerja memotong kain adalah kerja asas paling penting bagi seorang tukang jahit. Tak kisah lah anda mahu potong kain mudah urus seperti felt atau kain lemah gemalai seperti chiffon. Anda tetap perlukan gunting yang sesuai untuk kain yang akan dipotong. Jika betul potongannya, jahitan dapat diteruskan. Andai berlaku sebaliknya? Mungkin anda terpaksa menghadapi cabaran besar.

Pada awal penglibatan saya dalam dunia kraftangan felt, saya hanya gunakan dua jenis gunting. Gunting biasa untuk kertas dan gunting besi yang kecil untuk kain felt. Cukuplah dua jenis ketika itu memandangkan saya hanya mahu mencuba dahulu. Setelah beberapa bulan menjahit, barulah saya perasan wujudnya jenis-jenis gunting lain yang boleh membantu kerja kraf. 

Kiri: Gunting kadbod untuk memotong kertas yang tebal.
Kanan: Gunting kain cotton, flannel, fleece dan felt. Memotong kain yang nipis dan sederhana tebal.

Dari kiri: Gunting kertas untuk memotong kertas nipis, gunting mata melengkung untuk memotong bentuk bulat/bujur dan gunting besi kecil untuk memotongan kepingan felt yang kecil.

Gunting mata melengkung: Jika dilihat dari sisi, akan jelas kelihatan hujung matanya yang melengkung. 

Atas: Gunting bilah berbentuk zigzag. Menjadikan potongan kain felt lebih menarik. 
Bawah: Gunting bilah berbentuk scallop. Juga untuk menghasilkan potongan yang menarik.

Jenis-jenis gunting yang saya gunakan untuk kraftangan felt.

Walaupun koleksi gunting ini seakan sudah mencukupi, namun masih ada satu jenis gunting yang belum saya miliki. Gunting 100%  logam berat yang biasanya dimiliki oleh tukang jahit profesional. Belum ada keperluan mendesak untuk saya membelinya. Harganya juga agak tinggi setanding dengan kualiti potongan kain jika menggunakannya.

Doakan suatu hari nanti saya mampu memiliki gunting idaman hati tersebut.