22 August 2014

Sesi Rakaman Bersama TV Al-Hijrah

Entri 7

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

15 Jun 2012 adalah antara tarikh kenangan termanis sepanjang saya melibatkan diri dalam bisnes kraftangan felt. Terkejut dan tidak pernah menyangka bahawa saya akan mendapat tawaran untuk terlibat dalam sesi rakaman rancangan Gen 21 terbitan TV-AlHijrah, sebuah program santai yang memberi fokus kepada remaja. Rakaman ini disiarkan di dalam slot Remaja dan Bisnes.

Saya sempat bertanya kepada Cik Izyan, penolong penerbit rancangan, bagaimanakah Amal Creative ditemui? Jawabnya, melalui carian Google yang membawanya ke blog saya. Sejak itu saya sedar tentang kepentingan dan kegunaan blog sebagai medium yang amat berkesan untuk membina jenama dan mempromosi produk bisnes.

Sesi rakaman berlangsung selepas waktu Zohor. Sebelum itu, Cik Izyan dan Cik Elly membuat persediaan dengan berbual-bual sambil menerangkan kepada saya bagaimana rakaman akan dibuat dan apakah soalan-soalan yang bakal ditanya ketika ditemu bual. Anak sulung saya yang masih kecil ketika itu, dibawa oleh suami masuk ke bilik supaya tiada gangguan bunyi ketika rakaman dibuat. Kipas juga ditutup untuk mengelakkan gangguan bunyi angin. Hingga begitu sekali caranya. Baru saya tahu.

Ada tiga bentuk sesi rakaman. Sesi awal dimulakan dengan sembang santai bersama hos sambil menceritakan produk-produk kraftangan felt dari Amal Creative. Diikuti dengan sesi langkah demi langkah menghasilkan keronsang felt. Kemudian ditemu bual tentang bagaimana saya memulakan bisnes Amal Creative. Dalam masa yang singkat, banyak sebenarnya yang saya kongsikan. Antaranya, bilakah bisnes ini dimulakan, mengapakah kraftangan felt menjadi pilihan, berapakah modal awal untuk menjalankan bisnes ini, apakah jenis produk yang dapat dihasilkan dengan felt, perbezaan fabrik dan macam-macam lagi.

Antara produk keluaran Amal Creative yang disediakan untuk sesi rakaman.

Bersama hos kecil molek, penolong penerbit dan jurukamera rancangan Gen 21.

Sekitar persediaan rakaman dan temu bual.

Syukur Alhamdulillah, terima kasih ya Allah di atas peluang ini. Terima kasih Cik Nurizyan selaku penolong penerbit yang pada awalnya menghantar emel dan mengatur janji temu sesi rakaman. Buat Cik Elly hos yang ramah dan mesra, terima kasih kerana begitu bijak berkomunikasi dan natijahnya berjaya mengurangkan rasa gementar saya yang pertama kali ditemu ramah untuk siaran rakaman televisyen. Terima kasih juga buat jurugambar profesional yang cekap menjalankan tugas. 

Sesungguhnya, banyak pengalaman di belakang tabir yang saya pelajari secara tak langsung sepanjang petang sesi rakaman dibuat. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Rakaman ini disiarkan pada Sabtu 23 Jun 2012 dalam episod terakhir rancangan Gen 21. Saya sempat merekod video siaran untuk dikongsi bersama ahli keluarga.

20 August 2014

Stok Baru Butang Kraf

Entri 6

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Alhamdulillah hari ini stok butang yang dipesan dari pembekal tiga hari lepas pula selamat tiba di rumah. Kebiasaannya, anak-anak akan teruja berebut mahukan bungkusan yang posmen beri. Tidak sempat saya menutup kembali pintu rumah. Bungkusan ditarik. Soalan bertalu-talu keluar dari mulut comel itu.

Wafiy: Ni barang office Mama ke? Mama beli ke? Mama beli apa?
Mama: Ya sayang. Mama beli buttons. Nanti Mama nak jual semula.
Wafiy: Kenapa nak jual? Nak tengok, nak tengok!

Begitu lah soalan Wafiy setiap kali bungkusan baru tiba. Anak-anak bagai sudah mengerti serba sedikit perjalanan 'kerja' Mama di rumah. Setiap soalan yang diajukan adalah peluang bagi saya mendedahkan mereka dengan dunia perniagaan.

2 kategori butang pelbagai warna dan corak.

Sebelum menyimpan butang-butang yang diterima, saya biarkan anak-anak memegang dan bermain seketika. Butang yang berwarna-warni sememangnya mencetuskan sifat ingin tahu anak kecil. Setelah mereka puas membelek, barulah saya ambil dan simpan. Ini adalah cara saya mengelakkan anak-anak daripada senyap-senyap masuk ke makmal jahitan dan menyelerakkan koleksi butang tanpa izin.

Melihat butang yang berwarna-warni bagaikan sebuah terapi bagi saya. Ceria dan bertenaga. Itu yang saya rasakan setiap kali masuk ke makmal jahitan dikelilingi ribuan koleksi butang pelbagai warna dan reka bentuk. Saya percaya, setiap satu warna itu mencetuskan aura positifnya tersendiri. Mungkin sebab itulah saya masih belum pernah jemu dengan 'cinta baru' saya ini.

19 August 2014

Kad Bisnes Dan Label

Entri 5

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Teruja dan gembira tak terkata menerima bungkusan hari ini. Business card, label dan pelekat terima kasih kini di depan mata setelah menunggu sekian lama. Setiap satu item ini, ada kegunaannya. Membawa jenama Amal Creative pergi lebih jauh. InsyaAllah.


Bisnes seni kreatif yang diceburi memerlukan saya mereka satu logo. Bak kata Jutawan Siber, Saudara Irfan Khairi, logo bakal memberi gambaran profesional kepada perniagaan kerana manusia lebih mudah mengingati gambar atau imej daripada perkataan. Logo lebih mudah diingati pelanggan.

Facebook, Instagram, Petronas, Shell, Proton, Apple, semuanya adalah contoh logo yang mudah diingati. Walaupun logo ini ringkas dan kecil, namun impaknya amat besar. Logo juga adalah salah satu elemen penting dalam membina jenama perniagaan.

Untuk mereka logo Amal Creative, saya lakarkan sendiri design kasar dan mengupah designer untuk melakukan kerja-kerja melukis dan mengedit menggunakan Adobe Illustrator. Saya boleh lakukannya sendiri berbekalkan ilmu dan kemahiran yang ada. Namun bagi saya, kerja sebegini boleh dipindahkan kepada orang lain supaya masa emas saya dapat dimanfaatkan untuk tugasan lebih penting.

18 August 2014

Tips Mudah Menajamkan Gunting

Entri 4

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Gunting yang sudah lama digunakan biasanya akan menjadi kurang tajam. Apabila menggunakannya pun sudah terasa tidak puas hati. Gunting 'tak makan' kain kata orang. Nak dibuang atau ditukar ganti, itulah gunting kesayangan sejak sekian lama. Sudah serasi benar di jari. Lagipun kondisi gunting masih elok, cuma masalahnya tidak tajam seperti dulu.

Jadi bagaimanakah cara untuk menajamkan semula gunting?

Di ruangan ini saya ingin kongsikan satu tips mudah. Hanya menggunakan botol atau balang kaca yang sudah sedia ada di rumah. Contohnya botol kicap, botol sos, botol minyak dan sebagainya.

Ambil sebuah botol/balang kaca dan gunting yang ingin ditajamkan.

Kemudian buat gerakan seolah-olah sedang menggunting botol/balang kaca tersebut.

Ulangi gerakan tersebut beberapa kali sehingga berpuas hati dengan ketajaman gunting. Ambil kain atau kertas yang ingin digunting dan cuba potong. Itu sahaja. Mudah, berkesan dan menjimatkan. Tidak perlu beli gunting yang baru.

Satu lagi tips tambahan untuk mengekalkan ketajaman gunting adalah elakkan menggunakan satu gunting yang sama untuk menggunting kain dan kertas. Saya sendiri ada gunting khas untuk memotong kain felt dan gunting khas lain untuk memotong pola kertas.

Selamat mencuba!

17 August 2014

Bahan dan Peralatan Asas Permulaan Kraftangan Felt

Entri 3

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative

Bagi anda yang berminat dan ingin mula menjahit kraftangan felt, berikut adalah panduan senarai bahan dan kelengkapan asas yang perlu anda sediakan.


Bahan-bahan:

1) Fabrik felt.
Sebelum ini saya ada sebutkan tentang 2 jenis felt yang biasa digunakan di Malaysia. Felt poliester dan felt akrilik. Jadi pilihlah jenis fabrik yang sesuai mengikut projek jahitan yang bakal dijalankan.

2) Fiber.
Digunakan untuk mengisi ruang dalam pola rekaan yang dijahit. Bersifat ringan dan boleh dibeli di kedai alat jahitan dengan harga yang murah. Jika tiada fiber, kekabu juga boleh digunakan.

3) Mounting board atau kadbod keras.
Jika ingin menghasilkan rantai kunci nama atau bingkai gambar misalnya, mounting board ini digunakan di bahagian dalam kain felt sebelum dijahit.

4) Benang.
Untuk jahitan felt, penggunaan benang jahit kain biasa sudah memadai. Jika ingin hasilkan kesan jahitan yang nampak tebal, gandakan sahaja lapisan benang yang ingin digunakan.

Peralatan-peralatan:

1) Gunting.
Peralatan paling penting yang digunakan untuk memotong felt. Gunting haruslah dipastikan sentiasa tajam supaya potongan pola felt yang kemas dapat dihasilkan. Sediakan satu gunting khas untuk memotong kain dan satu gunting khas untuk memotong pola kertas.

2) Jarum.
Jarum yang digunakan haruslah bersesuaian dengan ketebalan fabrik felt yang akan dijahit. Untuk ketebalan sederhana, biasanya saya gunakan jarum yang digunakan untuk menjahit manik. Tujuannya agar jahitan nampak halus dan kemas.

3) Gam UHU.
Kesan lekatannya kuat jika digunakan untuk mencantumkan fabrik felt dengan fabrik felt juga.

4) Gam tembak.
Kesan lekatannya kuat dan lebih sesuai digunakan untuk melekatkan butang, reben atau hiasan tambahan ke atas fabrik felt.

5) Pensel penanda.
Untuk fabrik felt yang berwarna gelap seperti hitam, penggunaan pen penanda berwarna putih amat membantu. Tetapi sekiranya menggunakan pensel penanda, pastikan bahagian yang bertanda adalah bahagian yang akan berada di sebelah dalam jahitan. Kesan tandanya agak sukar dihilangkan dan boleh mencomotkan hasil akhir produk kraf.

6) Pen penanda.
Penggunaan pen penanda khas ini amat digemari di kalangan pengusaha kraftangan felt. Sifat kesan pen yang boleh terpadam dengan sendiri apabila terdedah kepada udara, memudahkan lagi kerja menghilangkan kesan tanda yang tidak diingini. Jika ingin hilangkan kesan tersebut dengan lebih cepat, tekapkan bahagian yang bertanda dengan sedikit air.

7) Pen.
Digunakan untuk melakar dan melukis pola secara bebas mengikut kreativiti sendiri.

8) Pola atau template.
Ada pelbagai cara untuk hasilkan pola kraftangan felt. Cara yang paling baik untuk menghasilkan produk felt yang asli dan beridentiti adalah dengan melukis sendiri polanya. Pola juga boleh dibeli secara atas talian. Cara yang paling biasa dilakukan adalah mencari gambar rekaan yang diingini menerusi carian Google. Cetak gambar tersebut dan guntingkannya untuk dijadikan pola.

16 August 2014

Apakah Itu Kraftangan Felt?

Entri 2

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Amal Creative


Kraftangan felt adalah seni jahitan kraftangan menggunakan fabrik felt. Biasanya felt lebih sesuai dijahit menggunakan tangan, namun ada ketikanya penggunaan mesin jahit juga dapat menghasilkan produk yang menarik dan amat membantu dalam penghasilan produk felt dalam skala besar.

Sejarah

Felt dikatakan antara fabrik tertua yang wujud sejak zaman prasejarah. Oleh kerana fabrik felt tidak ditenun dan tidak memerlukan mesin tenun dalam proses penghasilannya, maka masyarakat purba dapat membuatnya dengan mudah. Ada suku nomad yang menghasilkan pakaian dan khemah menggunakan fabrik ini.

Perbezaan Fabrik Felt

Secara umumnya di Malaysia, fabrik felt yang digunakan terdiri daripada 2 jenis:

1) Felt poliester (polyester felt)

Bersifat keras, tahan lasak dan kurang berbulu.
Sesuai untuk menghasilkan rantai kunci, sarung telefon bimbit, bingkai gambar, hiasan dekorasi rumah dan hiasan di baju.


2) Felt akrilik (acrylic felt)

Bersifat lembut, mudah dibentuk dan agak berbulu.
Sesuai untuk menghasilkan bunga hiasan, buah-buahan 3D, permainan kanak-kanak dan bantal.


Kedua-dua jenis fabrik ini adalah 100% sintetik, dihasilkan di kilang dan digunakan secara meluas dalam seni kraftangan felt. Felt ini datang dalam pelbagai warna dan ketebalan. Felt dijual dengan harga yang berpatutan, dalam saiz potongan kecil atau pun dijual dalam ukuran yard.

Kraftangan Felt di Malaysia

Kraftangan felt mula mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia sekitar tahun 2009. Ketika ini felt masih kurang dikenali dan penggiat kraftangan felt juga hanya boleh dibilang dengan jari. Seiring dengan perkembangan Facebook sebagai media sosial, mulai tahun 2011 lebih ramai penggiat seni kraftangan ini muncul. Fabrik felt juga makin mudah didapati secara online mahupun di kedai-kedai jahitan atau pun kraftangan.

Seni kraftangan felt ini sesuai untuk semua lapisan umur. Anak kecil seawal usia 6 tahun yang sudah bijak mengendalikan jarum, sudah tentu tiada masalah untuk menjahit produk kraf feltnya sendiri. Malah menjahit kraftangan felt dapat dijadikan sebagai aktiviti bermanfaat untuk seisi keluarga.

15 August 2014

Salam Perkenalan

Entri 1

Teks: Nor Amalina Rohaizad
Foto: Nor Amalina Rohaizad


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam perkenalan buat semua pembaca.

Saya Nor Amalina binti Rohaizad, berasal dari Alor Setar, Kedah. Dilahirkan pada 28 April 1985. Anak sulung daripada 3 orang adik-beradik.

Pendidikan awal saya bermula di Sekolah Rendah Islam Az-Zafirah Kuala Lumpur (1992-1994) dan Sekolah Rendah Islam Abim Alor Setar (1994-1997). Kemudian ke peringkat menengah dalam bidang Sains Tulen di Maahad Mahmud Alor Setar (1998-2002).

Saya menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Perak (2003-2004) dalam jurusan Sains Hayat. Selepas itu meneruskan pula pengajian selama 3 tahun di Universiti Malaya Kuala Lumpur (2004-2007) dalam bidang Sarjana Muda Sains Bioinformatik. Cabang ilmu Sains yang menggabungkan Biologi dan Teknologi Maklumat.

Setelah tamat pengajian, saya bekerja sebagai pegawai penyelidik sambilan di Institut Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Hampir 6 bulan bekerja di situ, saya menerima pula tawaran sebagai pembantu  penyelidik dan tutor di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam.

Sewaktu bekerja di IPTA, saya telah mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah dikurniakan rezeqi mengandungkan anak sulung di awal usia perkahwinan kami. Di sini lah titik permulaan peralihan kecenderungan, minat dan impian saya.

Dalam kesibukan saya berulang-alik ke kampus, berkampung di makmal sehingga lewat malam, masuk ke hutan mencari sampel, menganalisa ribuan data dan menyediakan laporan penyelidikan, jiwa kecil saya meronta inginkan ruang nafas baru untuk saya lepaskan tekanan secara positif.

Waktu itu juga saya 'mengidam' mahu menjahit. Setiap kali membuka laptop, saya cenderung mencari projek jahitan berbanding membaca jurnal penyelidikan. Projek ringkas yang boleh dijahit dengan hanya menggunakan tangan adalah kriteria utama pencarian. Maklumlah saya tidak ada dan tidak tahu menggunakan mesin jahit.

Suatu pagi ketika sedang melayari internet, saya terjumpa blog berkenaan kraf felt. MashaAllah pertama kali terpandang keychain nama yang dijahit comel dan berwarna-warni dari felt, terus buat saya jatuh hati. Pantas saya mencari dan menggali lagi maklumat dari mana saya boleh mendapatkan kain felt.

Syukur Alhamdulillah rupanya ada blog yang menjual kit permulaan kraf felt secara online. Bertambah seronok kerana kit tersebut disertakan tutorial lengkap langkah demi langkah jahitan asas. Bukan apa, saya sendiri sudah lupa jenis-jenis jahitan. Dengan segera, saya membuat tempahan dan menjelaskan pembayaran.

Keesokan harinya, kit diterima dan saya terus mulakan projek jahitan kraf felt pertama. Alhamdulillah saya sungguh seronok, teruja dan puas hati dapat menjahit. Terubat rasa mengidam sekian lama. Foto-foto hasil jahitan kraf felt, saya muat naik ke laman blog dan Facebook untuk dikongsi bersama saudara-mara dan rakan-rakan.

Dari sekadar mengidam dan menjahit suka-suka, produk kraf felt saya mula mendapat permintaan ramai. Bermula dari rakan-rakan terdekat sehinggalah ke pembaca blog. Sambutannya sungguh di luar jangkaan. Mama saya yang sememangnya mahir menjahit, turut memberi tunjuk ajar dan pandangan untuk saya tingkatkan kekemasan jahitan.

Tempahan masuk tidak henti-henti. Hati saya mula terdetik kenapa tidak saya jadikan kraf felt sebagai bisnes untuk saya lakukan dari rumah. Boleh menjaga anak sendiri dan dalam masa yang sama boleh bekerja sekaligus menjana pendapatan dari rumah. Saya mula catatkan perancangan dan berbincang secara teliti dengan suami. KepadaNya juga saya mohon petunjuk.

Alhamdulillah pada Mei 2011, putera sulung saya dilahirkan. Bermula saat itu, saya tekad dan tenang membuat keputusan mahu menjadi ibu bekerja dari rumah. Suami dan Mama saya memberi sepenuh sokongan dan kepercayaan. Dari semasa ke semasa, saya tambahkan ilmu membangunkan bisnes dan mula menambah jaringan kenalan.

Ogos 2014, saya mendaftar pula di kelas blog untuk belajar lebih mendalam tentang penulisan sekaligus bergabung bersama suri pengurus rumah tangga lain di Akademi Bekerja Di Rumah. Besar harapan saya, blog ini menjadi panduan asas bagi sesiapa sahaja yang mahu memulakan langkah berbisnes kraf felt dari rumah.

Di sini nanti saya kongsikan teknik-teknik jahitan asas, tip-tips kraf tangan dan tutorial projek kraf felt ringkas yang mudah untuk diikuti. Juga saya kongsikan tips-tips asas mula bisnes secara online khusus buat suri pengurus rumah tangga. Perkongsian di ruangan blog ini harapnya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pembaca.

Doakan secebis ilmu yang diterjemah dalam bentuk penulisan akan menjadi saham untuk bekalan saya di Akhirat sana. InsyaAllah.

Sebarang pandangan dan perkongsian idea, amat saya hargai dan alu-alukan. Pembaca boleh meninggalkan komen atau pertanyaan di ruangan tersedia di setiap entri blog. Saya juga boleh dihubungi melalui medium berikut:

Blog 1: amalcreative.blogspot.my
Blog 2: amalcreative.wordpress.com
Email: noramalina.rohaizad@gmail.com
Whatsapp/sms: +60192111934
Facebook Page: Amal Creative
Instagram: @amalcreative

 Selamat berkarya dengan kraf felt! :)

"Perjalanan jauh beribu batu bermula dengan langkah kecil 
yang istiqomah dilakukan setiap hari."